Thursday, April 12, 2012

Home » » Kasih Sayang Yang Tidak Berpenghujung

Kasih Sayang Yang Tidak Berpenghujung



kasih sayang yg tak berpenghujung…
cube hayatinye……..

Aku cuma ada seorang adik. Usianya tiga tahun lebih muda daripada aku.
Suatu hari, untuk mendapatkan sehelai sapu tangan yang menjadi keperluan
anak gadis ketika itu, aku ambil 50 sen dari poket seluar ayah.

Petang itu, pulang saja dari sekolah – ayah memanggil kami berdua. Dia
meminta aku dan adik berdiri di tepi dinding. Aku menggeletar melihat rotan
panjang sedepa di tangan ayah.

“Siapa ambil duit ayah?” tanya ayah bagai singa lapar.

Aku langsung tidak berdaya menentang renungan tajam mata ayah. Kedua-dua
kami membisu,cuma tunduk memandang lantai.

“Baik,kalau tak mengaku,dua-dua ayah rotan!” sambung ayah sambil mengangkat
tangan untuk melepaskan pukulan sulungnya ke belakang aku.

Tiba-tiba, adik menangkap tangan ayah dengan kedua-dua belah tangannya
sambil berkata, “Saya yang ambil!”

Belum sempat adik menarik nafas selepas mengungkapkan kata-kata itu,
hayunan dan balunan silih berganti menghentam tubuh adik. Aku gamam,lidah
kelu untuk bersuara. Walau perit menahan sakit, setitis pun airmata adik
tak tumpah.

Setelah puas melihat adik terjelepok di lantai, ayah merungut:

“Kamu sudah mula belajar mencuri di rumah sendiri. Apakah lagi perbuatan
kamu yang akan memalukan ayah di luar kelak?”

Malam itu, emak dan aku tak lepas-lepas mendakap adik. Belakangnya yang
berbirat dipenuhi calar-balar cuba kami ubati. Namun adik cukup tabah.
Setitis pun air matanya tidak mengiringi kesakitan yang mencucuk-cucuk.

Melihat keadaan itu, aku meraung sekuat hati, kesal dengan sikap aku yang
takut berkata benar.

Adik segera menutup mulutku dengan kedua-dua belah tangannya lalu
berkata,”Jangan menangis kak,semuanya dah berlalu!”

Aku mengutuk diri sendiri kerana tidak mampu membela adik.

Tahun bersilih ganti, peristiwa adik dibelasah kerana mempertahankan aku
bagaikan baru semalam berlaku. Adik mendapat tawaran belajar ke sekolah
berasrama penuh dan aku pula ditawarkan menyambung pelajaran ke peringkat
pra-universiti.

Malam itu ayah duduk di bawah cahaya lampu minyak tanah bersama ibu di
ruang tamu. Aku terdengar ayah berkata, “Zah, kedua-dua anak kita cemerlang
dalam pelajaran. Abang bangga sekali!”

“Tapi apalah maknanya bang…!” aku terdengar ibu teresak-esak.

“Dimana kita nak cari duit membiayai mereka?”

Ketika itulah adik keluar dari biliknya. Dia berdiri di depan ayah dan ibu.
“Ayah,saya tak mahu ke sekolah lagi!”

Perlahan-lahan ayah bangun, membetulkan ikatan kain pelekatnya dan merenung
wajah emak,kemudian wajah adik dalam-dalam.

Panggggg….sebuah penampar singgah di pipi adik. Seperti biasa yang mampu
aku lakukan ialah menutup muka dan menangis.

“Kenapa kamu ni?Tahu tak,kalau ayah terpaksa mengemis kerana persekolahan
kamu, ayah akan lakukan!”

“Orang lelaki kena bersekolah. Kalau tak, dia takkan dapat membawa
keluarganya keluar daripada kemiskinan,” aku memujuk adik tatkala menyapu
minyak pada pipinya yang bengkak.

“Kakak perempuan…biarlah kakak yang berhenti.”

Tiada siapa yang menyangka, dinihari itu adik tiada dibiliknya. Dia membawa
bersamanya beberapa helai baju lusuh yang dia ada. Di atas pangkin tempat
dia lelapkan mata, terdapat sehelai kertas yang tercatat…..

“Kak…untuk dapat peluang ke universiti bukannya mudah. Saya cari kerja
dan akan kirim wang buat akak.”

Apa lagi yang saya tahu selain meraung. Ayah termenung, jelas dia cukup
kecewa. Begitu juga emak yang menggunakan air matanya memujuk ayah.

Suatu petang ketika berehat di asrama, teman sebilik menerpa: “Ada pemuda
kampung tunggu kau kat luar!”

“Pemuda kampung?” bisikku. “Siapa?

Tergesa-gesa aku keluar bilik. Dari jauh aku nampak adik berdiri dengan
pakaian comotnya yang dipenuhi lumpur dan simen. “Kenapa sebut orang
kampung, sebutlah adik yang datang!”

Sambil tersenyum dia menjawab, “Akak lihatlah pakaian adik ni. Apa yang
akan kawan-kawan akak kata kalau mereka tahu saya adik kakak?”

Jantungku terasa berhenti berdenyut mendengarkan jawapannya. Aku cukup
tersentuh. Tanpa sedar, air jernih mengalir di pipi. Aku kibas-kibas
bebutir pasir dan tompokan simen pada pakaian adik.

Dalam suara antara dengar dan tidak, aku bersuara, “Akak tak peduli apa
orang lain kata.”

Dari kocek seluarnya, adik keluarkan sepit rambut berbentuk kupu-kupu.Dia
mengenakan pada rambutku sambil berkata, “Kak, saya tengok ramai gadis
pakai sepit macam ni, saya beli satu untuk akak.”

Aku kaku. Sepatah kata pun tak terucap. Aku rangkul adik dan dadanya
dibasahi air mataku yang tak dapat ditahan-tahan.

Tamat semester, aku pulang ke kampung sementara menunggu konvokesyen. Aku
lihat tingkap dan dinding rumah bersih, tak seperti selalu.

“Emak,tak payahlah kerja teruk-teruk bersihkan rumah sambut saya balik.”

“Adik kamu yang bersihkan. Dia pulang kelmarin. Habis tangannya luka-luka.”

Aku menerpa ke biliknya. Cantik senyum adik. Kami berdakapan.

“Sakit ke?” aku bertanya tatkala memeriksa luka pada tangannya.

“Tak….Kak tahu, semasa bekerja sebagai buruh kontrak, kerikil dan
serpihan simen jatuh seperti hujan menimpa tubuh saya sepanjang masa.

Kesakitan yang dirasa tidak dapat menghentikan usaha saya untuk bekerja
keras.”

Apalagi…aku menangis seperti selalu.

Aku berkahwin pada usia menginjak 27 tahun. Suamiku seorang usahawan
menawarkan jawatan pengurus kepada adik.

“Kalau adik terima jawatan tu, apa kata orang lain?” kata adik.

“Adik takde pelajaran. Biarlah adik bekerja dengan kelulusan yang adik
ada.”

“Adik tak ke sekolah pun kerana akak.” kata ku memujuk.

“Kenapa sebut kisah lama, kak?” katanya ringkas, cuba menyembunyikan
kesedihannya.

Adik terus tinggal di kampung dan bekerja sebagai petani setelah ayah
tiada. Pada majlis perkahwinannya dengan seorang gadis sekampung, juruacara
majlis bertanya, “Siapakah orang yang paling anda sayangi?”

Spontan adik menjawab, “Selain emak, kakak saya….”katanya lantas
menceritakan suatu kisah yang langsung tidak ku ingati.

“Semasa sama-sama bersekolah rendah, setiap hari kami berjalan kaki ke
sekolah.Suatu hari tapak kasut saya tertanggal. Melihat saya hanya memakai
kasut sebelah, kakak membuka kasutnya dan memberikannya pada saya. Dia
berjalan dengan sebelah kasut. Sampai di rumah saya lihat kakinya berdarah
sebab tertikam tunggul dan calar-balar.”

“Sejak itulah saya berjanji pada diri sendiri. Saya akan lakukan apa saja
demi kebahagiaan kakak saya itu. Saya berjanji akan menjaganya sampai
bila-bila.”

Sebaik adik tamat bercerita, aku meluru ke pelamin, mendakap adik
sungguh-sungguh sambil meraung bagaikan diserang histeria.

Ya Allah Ya Tuhanku..aku redha akan ujian dari-MU..pintaku,berikanlah aku kekuatan dan ketabahan untuk mengharungi semua ini…

Sumbangan : osama_laden

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
HOT NEWS